Kuala Lumpur: Kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan siber negara dengan memberi tumpuan kepada keupayaan menjangka dan mencegah serangan, susulan ancaman siber yang semakin kompleks serta canggih.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan proaktif perlu diutamakan berbanding tindakan reaktif, bagi memastikan negara bersedia menghadapi ancaman yang boleh menyasarkan pelbagai sektor, termasuk perbankan dan institusi penting.
"Kita mesti bina kekuatan untuk menjangka serangan. Jangan tunggu reaktif. Kita perlu bersedia untuk menjangkakannya terlebih dahulu," kata Anwar yang juga moderator Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 14 di sini, malam ini.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Presiden Kumpulan SD Guthrie Berhad Mohd Haris Mohd Arshad dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Research Institute Dr Sarena Che Omar.









