Istanbul: Sasaran perdagangan antara Malaysia dan Turkiye sebanyak AS$10 bilion (RM40.6 bilion) menjelang 2030 mampu dicapai, terutamanya menerusi perolehan peralatan pertahanan dan keselamatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata imbangan perdagangan antara kedua-dua negara buat masa ini berpihak kepada Malaysia.
"Daripada usaha kedua-dua negara, sasaran itu boleh dicapai, terutamanya dari pihak Malaysia dalam memperoleh peralatan pertahanan dan keselamatan," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian pada sesi panel bertajuk "Turkiye: From Regional Power to Multi-Regional Actor" pada TRT World Forum 2026 di sini, hari ini.









