KUALA LUMPUR: Fitch Ratings mengunjurkan industri kewangan Islam Malaysia melebihi AS$800 bilion pada akhir suku ketiga 2026 dengan pertumbuhan dijangka berterusan, disokong oleh pasaran domestik yang kukuh, ekosistem yang matang serta sokongan dasar menerusi Belanjawan 2027.
Agensi penarafan itu menyatakan, Malaysia berkemungkinan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam sukuk serta pasaran utama bagi perbankan Islam, dana Islam dan takaful.
Bagaimanapun, jelasnya, prospek pertumbuhan masih tertakluk kepada turun naik pasaran luar, pengurangan terbitan sukuk kerajaan serta sensitiviti terhadap pergerakan kadar pertukaran mata wang, kadar faedah dan harga komoditi.
"Kami mengunjurkan industri kewangan Islam Malaysia melebihi AS$800 bilion pada akhir suku ketiga 2026, mewakili lebih 150 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).









