KUALA LUMPUR: Penerbitan Sukuk Global Malaysia bernilai AS$1.5 bilion pada akhir Julai 2026 menerima permintaan langganan melebihi AS$9.5 bilion, mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap prospek ekonomi dan kedudukan kredit negara.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan bahawa penerbitan dua tranche sukuk berkenaan mencatatkan lebihan langganan sebanyak 4.7 kali, sekali gus membolehkan kerajaan memperoleh kadar spread (jurang kadar) terendah dalam sejarah penerbitan Sukuk Global Malaysia.

"Permintaan yang kukuh itu membolehkan kerajaan menurunkan kadar spread sebanyak 30 mata asas (bps) daripada panduan harga awal bagi kedua-dua tranche terbabit.

"Ini menjadikan terbitan bertempoh matang 5.75-tahun ditetapkan pada 15 bps di atas kadar Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) 5-tahun, iaitu pada 4.612 peratus setahun manakala terbitan 10-tahun ditetapkan pada 25 bps di atas kadar Perbendaharaan AS 10-tahun iaitu pada 4.949 peratus setahun," menurut kementerian itu.