Putrajaya: Pengadu lewat membuat laporan polis selama 441 hari menjadi antara perkara dipertimbangkan Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan sabitan rogol terhadap pendakwah selebriti, Da'i Syed.

Dalam penghakiman majoriti 2-1 dibacakan Hakim Datuk Azman Abdullah, mahkamah rayuan berpendapat, mahkamah terdahulu terkhilaf melampau dan tersalah arah dalam dapatannya, sehingga mewajarkan Mahkamah Rayuan campur tangan.

Azman berkata, mahkamah turut meneliti kelakuan mangsa (saksi pendakwaan pertama) sebelum, semasa dan selepas kejadian, termasuk komunikasi antara mangsa dan perayu (Da'i Syed) menerusi aplikasi WhatsApp serta Instagram.

Katanya, dalam hujahan pembelaan, peguam perayu berhujah anak guamnya tidak pernah menafikan berlaku hubungan seks dengan mangsa, namun menegaskan ia dilakukan atas kerelaan wanita terbabit.