MELAKA: Pakatan Harapan (PH) mencabar Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengemuka hujah berhubung Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA), bukannya menggunakan ungkapan berunsur provokasi untuk mengkritik kerjasama politik berkenaan.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata perbezaan pandangan mengenai sesuatu aturan politik seharusnya dibahaskan berdasarkan kandungan dan kesan perjanjian itu, bukannya menggunakan istilah yang tidak menjadikan sesuatu hujah lebih kukuh.
Katanya, PH bersetuju hasil negara ialah hak seluruh rakyat dan kebajikan mereka tidak sepatutnya bergantung kepada sokongan politik masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, prinsip berkenaan perlu dibezakan daripada persoalan kerjasama di antara kerajaan dengan pembangkang bagi memastikan kestabilan pentadbiran.








