Kuching: Di sebalik kontroversi yang melanda, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tetap meneruskan tugasannya di Sarawak dengan meninjau beberapa lokasi strategik kawalan sempadan Malaysia-Indonesia di sektor Serian-Tebedu.

AKPS dalam hantaran di media sosial memaklumkan lawatan itu bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan operasi serta memperkukuh kawalan keselamatan di sepanjang sempadan negara.

Dalam lawatan singkat berkenaan, Mohd Shuhaily yang kembali bertugas sejak Isnin lalu, meluangkan masa mengunjungi Pos Kawalan Sempadan Bunan Gega dan Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Mongkos.

Selain itu, beliau turut melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu yang menjadi laluan keluar masuk utama antara Sarawak dan Kalimantan Barat, Indonesia.