KUALA LUMPUR: Oriental Kopi Holdings Bhd menyelesaikan kontroversi berkaitan penggunaan bahasa dalam menu yang tercetus pada Oktober lalu menerusi pengenalan menu baharu dalam tiga bahasa bermula bulan ini dengan kos pencetakan semula kira-kira RM150,000.

CGS International (CGSI) dalam satu nota penyelidikan berkata, isu berkenaan tidak memberi kesan ketara terhadap jumlah pelanggan dan aliran pengunjung ke rangkaian kafe berkenaan sekali gus menunjukkan perkembangan perniagaannya kekal stabil selepas kontroversi itu mendapat perhatian umum.

Menurut firma penyelidikan itu, menu baharu dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin itu kini digunakan di cawangan terbaharu syarikat di Aman Central dan Merdeka 118, sebelum diperluaskan ke semua cawangan sedia ada menjelang akhir November ini.