RAWANG: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di sini, hari ini, mengarahkan Aliff Daniel Adli yang sebelum ini tular melakukan ritual agama lain, untuk menjalani pemulihan akidah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah.

Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib, memerintahkan Aliff Daniel, 21, menjalani hukuman itu di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Ulu Yam, selama tiga bulan berkuat kuasa hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan pemujaan salah dengan cara menjunjung alat keagamaan lain, melakukan ritual mencucuk anggota badan dan berlutut sambil kedua-dua tangan dirapatkan di dada di hadapan patung di sebuah kuil di Batu Caves, antara jam 9 hingga 11 malam 24 Januari 2024.