Kuala Lumpur: Global Royalty Trading SAL sedang mengenal pasti dan mengesan aset Datin Seri Rosmah Mansor bagi menguatkuasakan penghakiman yang memerintahkannya membayar RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas berpangkalan di Lubnan itu.

Peguam Datuk David Gurupatham mewakil Global Royalty berkata, pihaknya dalam proses mengenal pasti aset yang mungkin dimiliki Rosmah, sebelum memfailkan dokumen berkaitan bagi memulakan tindakan penguatkuasaan.

"Setakat ini, kami dalam proses mengenal pasti dan mengesan sebarang aset yang mungkin dimilikinya (Rosmah) untuk kami menguatkuasakan penghakiman itu.

"Kami akan memfailkan dokumen yang diperlukan tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.