Kuala Lumpur: Langkah kerajaan untuk mengurangkan impak kenaikan harga bahan api global perlu disokong oleh kerjasama orang ramai dalam menguruskan penggunaan bahan api bagi meminimumkan tekanan inflasi dan melindungi kewangan isi rumah.
Ketua Ekonomi CGS International Securities Sdn Bhd Ahmad Nazmi Idrus berkata, mekanisme subsidi bahan api bersasar kerajaan melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) telah mencapai matlamatnya dengan baik dalam melindungi pengguna daripada kesan inflasi yang lebih ketara dan mengekalkan kuasa beli isi rumah.
Walaupun kesan limpahan terhadap harga barangan dan perkhidmatan yang tidak ditadbir atau dikawal oleh kerajaan berterusan, katanya impak keseluruhan setakat ini adalah terkawal seperti yang dapat dilihat daripada prestasi Indeks Harga Pengguna (IHP) yang sederhana.








