Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Perak, Selangor dan Sarawak terus merekodkan penurunan kepada 997 orang daripada 284 keluarga yang ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS), sehingga jam 5 petang tadi.

Semakan di portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mendapati bilangan mangsa banjir itu menurun berbanding 1,210 orang, pagi tadi.

Portal sama turut memperincikan 331 daripada keseluruhan mangsa banjir terdiri daripada perempuan, manakala 295 lagi lelaki, kanak-kanak (349), bayi (22), warga emas (88) dan orang kurang upaya (24).

Perak merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 429 orang masih ditempatkan di tiga PPS, manakala Sarawak mencatatkan tujuh mangsa ditempatkan di satu PPS di negeri itu.