KUALA LUMPUR: Seramai 979 mangsa banjir dilaporkan masih berada di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri setakat jam 3 petang ini.

Negeri yang terjejas berkenaan membabitkan Selangor, Perak dan Sarawak.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Selangor merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 547 orang daripada 153 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.

Perak pula mencatatkan seramai 425 mangsa daripada 128 keluarga di tiga PPS, manakala Sarawak merekodkan tujuh mangsa daripada satu keluarga di sebuah PPS.