ISTANBUL: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pelaksanaan tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilakukan segera tanpa sebarang kelewatan.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) bertanggungjawab mentafsir undang-undang dan peruntukan Perlembagaan, justeru perkara itu tidak perlu dibawa semula ke mahkamah.

"Tidak perlu mendapatkan penjelasan daripada mahkamah kerana pelaksanaannya berdasarkan keputusan yang sudah dimuktamadkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Pada pandangan saya, keputusan Lembaga Pengampunan perlu dipatuhi sepenuhnya kerana Peguam Negara (AG) sudah mengeluarkan kenyataan bahawa sebaik saja denda RM50 juta dibayar, arahan dan keputusan lembaga itu akan berkuat kuasa secara automatik," katanya pada sidang media selepas menamatkan lawatan kerja ke Türkiye, hari ini.