KUALA LUMPUR: Pelaburan berterusan dalam perkhidmatan awam dan bantuan bersasar penting bagi meningkatkan kesejahteraan isi rumah selain menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia, menurut Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Pengerusinya, Dr Nungsari Ahmad Radhi, berkata kerajaan perlu mengimbangi usaha mengekalkan pertumbuhan ekonomi, memastikan manfaatnya diagihkan secara saksama serta mengurus sumber fiskal khususnya dalam keadaan ketidaktentuan global dan ketegangan geopolitik.

"Cabaran yang dihadapi bukan sekadar mengekalkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga membina daya tahan dalam mendepani ketidaktentuan global dan ketegangan geopolitik selain memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara meluas," katanya dalam satu kenyataan.