KUALA LUMPUR: Dasar gaji minimum Malaysia tidak boleh dilihat secara berasingan sebaliknya perlu dilihat sebagai pelengkap kepada bantuan bersasar, rasionalisasi subsidi dan langkah penjagaan kesihatan mampu milik.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, hal ini bagi memastikan peningkatan pendapatan pekerja turut meningkatkan kesejahteraan isi rumah.

Jelasnya, penambahbaikan gaji dirangka seiring dengan inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), rasionalisasi subsidi bahan api RON95 serta skim insurans dan takaful perubatan MediAsas yang akan diperkenalkan tidak lama lagi sekali gus menyediakan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menangani kos sara hidup.

Beliau berkongsi perkara itu menerusi akaun LinkedIn beliau susulan pandangan yang disuarakannya baru-baru ini dalam sebuah podcast kewangan.