Beijing: Seorang wanita dari kawasan tengah China mendapat perhatian ramai di media sosial selepas mengajak bekas ibu mentuanya tinggal bersamanya susulan kematian bekas suami.
Lin, dari wilayah Henan, baru-baru ini menaiki penerbangan sejauh lebih 1,000 kilometer ke wilayah Guangdong di selatan China untuk membawa bekas ibu mentuanya tinggal bersamanya, walaupun mereka sudah bercerai 12 tahun lalu, lapor South China Morning Post (SCMP).
Lin membuat keputusan itu selepas bekas bapa mentuanya meninggal dunia akibat penyakit pada 2024, manakala bekas suaminya meninggal dunia tahun lalu.
Bekas ibu mentua Lin, yang masih dipanggilnya sebagai 'ibu', mempunyai lima orang anak yang semuanya bersedia untuk menjaga dan membawanya tinggal bersama mereka.









