GUA MUSANG – Seorang bayi lelaki dan warga emas antara 16 mangsa daripada dua keluarga yang diselamatkan bomba selepas terperangkap dalam banjir susulan hujan lebat di Kampung Kundur di sini tengah malam tadi.
Kesemua mangsa terdiri daripada 12 lelaki dewasa, dua perempuan dewasa, seorang lelaki warga emas dan seorang bayi lelaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.55 tengah malam.
Katanya, sepasukan anggota tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian sebelum mendapati dua rumah penduduk telah dinaiki air dan semua mangsa memerlukan pemindahan segera.









