TUMPAT: Taktik seorang lelaki menyembunyikan 18,000 batang rokok putih dipercayai tidak bercukai di bawah kandang kambing yang tidak digunakan di Kampung Berlian, Palekbang, di sini terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA), malam tadi.
Serbuan kira-kira pukul 10 malam itu menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu turut menahan seorang lelaki berusia 43 tahun bagi membantu siasatan.
Komander Briged Tenggara Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan di lokasi telah menemukan beberapa kotak dan bungkusan plastik lutsinar berisi karton rokok putih yang disimpan di bawah sebuah kandang yang tidak digunakan.
Katanya, soal siasat awal mendapati lelaki berkenaan bekerja sebagai peniaga dan sudah berkecimpung dalam perniagaan rokok tidak bercukai selama lapan tahun.








