Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesahkan tahap kesiapsiagaan penuh menerusi pelbagai strategi dan penyediaan logistik bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal memberi impak lebih serius terhadap infrastruktur serta perhubungan jalan raya di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihak kementerian tidak memohon peruntukan khas berasingan bagi MTL, sebaliknya permohonan bajet dimasukkan terus ke dalam peruntukan tahunan penyelenggaraan jalan harian.

"Daripada peruntukan penyelenggaraan sedia ada yang diluluskan itu kira-kira RM300 juta setahun, kita menganggarkan sebahagian akan digunakan pada khusus untuk kawasan yang terkesan akibat banjir termasuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya, jambatan, parit dan longkang," katanya.