MELAKA: Sebarang gesaan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal terutamanya daripada pimpinan Barisan Nasional (BN) adalah tidak wajar kerana ia merupakan hak prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen berada pada Perdana Menteri.

“Kuasa untuk membubarkan Parlimen terletak sepenuhnya pada Perdana Menteri. Justeru, gesaan untuk membubarkannya lebih awal adalah tidak wajar.

“Kuasa untuk membubarkan Parlimen pada bila-bila masa merupakan hak prerogatif Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam sidang akhbar selepas Himpunan Semarak Tani bersama Nelayan Melaka di sini hari ini.