KULAI – Kegiatan sebuah premis penyimpanan dan pemprosesan makanan sejuk beku yang dipercayai beroperasi secara haram sejak kira-kira dua tahun lalu terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu gudang itu di Kawasan Perindustrian Sri Kulai, di sini, semalam.

Serbuan kira-kira pukul 7 pagi itu membawa kepada penahanan sembilan individu termasuk pemilik premis rakyat tempatan, selain merampas 49,048 kilogram (kg) daging babi dan ayam sejuk beku dianggarkan bernilai RM2.5 juta.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Awang Arfian Awang Bujang berkata, operasi Op Salju Mega oleh Batalion 5 PGA itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu di premis terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan bersama Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Pejabat Kesihatan Daerah Kulai dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor mendapati premis itu menyimpan serta memproses makanan sejuk beku tanpa lesen berkaitan.