KUALA LUMPUR – Hanya dua negeri iaitu Selangor dan Kedah, telah meminda peruntukan undang-undang berkaitan umur minimum perkahwinan orang Islam kepada 18 tahun, manakala negeri lain masih tertakluk kepada pertimbangan dan proses perundangan masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan menerusi kementeriannya akan terus berusaha menyelaraskan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun di seluruh negara secara berperingkat melalui kerjasama rapat dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata, usaha itu memerlukan libat urus dengan pihak berkuasa agama negeri, agensi berkaitan dan pemegang taruh memandangkan hal ehwal undang-undang keluarga Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri.