Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan hanya Selangor dan Kedah sudah meminda peruntukan berkaitan umur minimum perkahwinan bagi umat Islam kepada 18 tahun setakat ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata had usia perkahwinan di negeri lain termasuk Melaka, bagaimanapun tertakluk kepada pindaan mengikut pertimbangan dan proses perundangan negeri berkenaan.

"Pindaan ini turut tertakluk kepada hal ehwal undang-undang Islam yang berada di bawah bidang kuasa negeri.

"Usaha menetapkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun perlu diteruskan secara berperingkat dengan kerjasama semua kerajaan negeri," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.