Kulai: Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 49,048 Kilogram (kg) daging babi dan ayam sejuk beku bernilai lebih RM2.5 juta selepas menyerbu sebuah premis haram di Jalan Perak, Kawasan Perindustrian Sri Kulai, di sini, semalam.

Komandernya, Senior Asisten Komisioner Awang Arfian Awang Bujang berkata, serbuan menerusi Op Salju Mega kira-kira jam 7 pagi itu dilakukan sepasukan anggota dari Batalion 5 PGA selepas mendapat maklumat awam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas 11 individu di premis berkenaan, pihaknya menahan sembilan individu terdiri seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang juga pemilik premis.

Turut ditahan lapan orang termasuk seorang wanita warga Myanmar berusia antara 30 hingga 38 tahun yang juga pekerja di premis berkenaan.