LEXINGTON: Bayi lelaki berusia 11 bulan ditemui masih hidup selepas dipercayai ditanam selama hampir 24 jam di kawasan hutan, di Carolina Selatan, semalam.

Jabatan Syerif Daerah Lexington mengesahkan mangsa, Koah Sharpe, ditemui dalam keadaan dibalut tuala di dalam sangkar anjing yang ditimbus tanah dalam lubang.

Syerif Daerah Lexington, Jay Koon, memaklumkan penemuan bayi berkenaan yang sedang menangis disifatkan sebagai satu keajaiban susulan operasi pencarian besar-besaran yang dilancarkan pihak berkuasa.

Pihak polis mengesahkan bapa bayi berkenaan, Michael Comer, ditahan atas tuduhan pecah rumah serta mengelak penahanan, manakala pertuduhan tambahan berhubung kejadian penemuan bayinya sedang diselaraskan pejabat pendakwa raya.