Melaka: Pakatan Harapan (PH) mahu kemasukan pelaburan ke Melaka diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti dengan pendapatan lebih tinggi, khususnya bagi golongan muda yang mahu membina kerjaya di negeri sendiri.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, pembangunan ekonomi tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu memberi manfaat langsung kepada pekerja melalui pendapatan stabil dan peluang kemajuan kerjaya.
"Khidmat itu mesti membawa pekerjaan dengan pendapatan lebih baik. Menurut DOSM (Jabatan Perangkaan Malaysia), median gaji bulanan pekerja warganegara di Melaka pada 2025 ialah RM2,773, berbanding RM2,940 di peringkat nasional.
"Melalui aspirasi 'Pekerjaan Berkualiti, Masa Depan Anak Muda Terjamin', pelaburan perlu diterjemahkan kepada jawatan yang sepadan dengan kelayakan, pendapatan stabil dan peluang kenaikan pangkat," katanya.








