Istanbul: Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pada Selasa menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengecam tawaran Amerika Syarikat (AS) sehingga US$20 juta bagi mendapatkan maklumat mengenai program nuklear Iran, sambil memberi amaran bahawa langkah itu boleh mengancam keselamatan kemudahan nuklear dan saintis negara berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut agensi berita rasmi Iran, IRNA, Araghchi dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Presiden Majlis Keselamatan PBB dan Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi menyifatkan pengumuman itu sebagai "amat menjijikkan" serta menggesa supaya ia dikecam sekeras-kerasnya.

Beliau berkata tawaran yang diumumkan menerusi program "Rewards for Justice" oleh Jabatan Negara AS dan dikongsi semula oleh Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) itu bertujuan mendapatkan maklumat mengenai kemudahan nuklear, peralatan, saintis dan kakitangan, selain menawarkan kemungkinan penempatan semula.