Lima, Peru: Pemilihan datuk bandar di Peru terpaksa ditentukan menerusi lambungan syiling selepas dua calon memperoleh jumlah undi sama dalam pilihan raya perbandaran, sekali gus menyaksikan kaedah luar biasa yang diiktiraf undang-undang digunakan bagi menentukan pemenang, lapor Reporteri.

Menurut AFP pada 6 November lalu, kejadian itu berlaku di Conima, sebuah daerah kecil di kawasan tanah tinggi Andes, Peru, berhampiran Tasik Titicaca.

Difahamkan, lambungan syiling itu akhirnya memihak kepada Rubén Quispe Capajaña daripada parti Somos Perú yang menewaskan pesaingnya, Salomino Mamani Quispe daripada parti País Para Todos.

Kedua-dua calon berkenaan memperoleh jumlah undi sama iaitu masing-masing 671 undi dan kedua-duanya bertanding dalam pilihan raya perbandaran yang berlangsung pada 4 Oktober lalu.