KUALA LUMPUR: Sebanyak 45 organisasi industri menyertai program Academia-Industry Collaboration (AIC) 4.0: Empowering Talents, Shaping Futures bagi memperluas akses kerjaya serta meningkatkan kebolehpasaran graduan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

Naib Canselor UPTM, Sharifah Syahirah Sy Sheikh, berkata kerjasama antara pihak industri menjadi nilai tambah kepada para graduan yang diraikan hari ini.

"Kita jemput industri untuk berkenalan dengan pelajar cemerlang UPTM dan mengetengahkan bagaimana universiti melatih mereka menjadi seorang yang profesional.

"Penyertaan mereka di mana-mana organisasi akan menyuntik suasana kerja yang meriah dan melahirkan semangat kerjasama kumpulan yang kuat," katanya kepada BH selepas majlis Academia-Industry Collaboration (AIC) 4.0: Empowering Talents, Shaping Futures, di sini.