PETALING JAYA – Kerjasama strategik antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan dua universiti terkemuka di Turkiye menjadi langkah penting dalam memperluas akses pendidikan bertaraf antarabangsa serta memperkukuh keupayaan penyelidikan tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama menerusi pertukaran dua Surat Kerjasama (LOC) dengan Sabancı University dan Yıldız Technical University (YTU) itu turut membuka peluang kepada pembangunan bakat berkemahiran tinggi.

Menurutnya, kerjasama dengan Sabancı University memberi tumpuan kepada pembangunan program akademik bersama, penyeliaan bersama di peringkat Doktor Falsafah (PhD) serta penyelidikan dalam bidang bahan termaju, teknologi digital dan tenaga.