PETALING JAYA – Perkongsian seorang lelaki berhubung hobi baharu ibunya menghias tudung saji, turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menempahnya untuk dihadiahkan kepada isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menerusi hantaran Threads, Eezal Shah, lelaki tersebut berkongsi gambar tudung saji plastik yang dihiaskan oleh ibunya dengan pelbagai corak dan warna.

“Ibu saya usia 70 tahun, saya galakkan aktiviti tangan macam ni sebab dulu lepas bapak meninggal, mak banyak main telefon. Gaya hidup kurang aktif tidak baik untuknya.

“Sekurang-kurangnya sekarang, hobi baharunya bantu rangsang minda supaya kekal aktif. Apa sahaja yang buatkan dia gembira, teruskanlah,” katanya.