Kuala Lumpur: Gelagat spontan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni seorang kanak-kanak yang menangis selepas kereta mainannya rosak mencuri perhatian, sekali gus mencetuskan suasana mencuit hati.
Menerusi perkongsian video di media sosial, Anwar dilihat mendekati kanak-kanak berkenaan sebelum cuba memujuknya yang masih bersedih selepas kereta mainan kesayangannya patah.
Lebih mencuri perhatian, keprihatinan Perdana Menteri itu bukan sekadar memujuk, malah beliau turut menghulurkan RM50 kepada kanak-kanak berkenaan bagi membolehkannya membeli kereta mainan baharu.
"Kereta mainan ni patah. Nanti, atok beli lain. Mainan ni pegang, ini (serah RM50) nanti beli baru yang lebih cantik, yang lagi besar okay," katanya ketika memujuk kanak-kanak berkenaan dalam video yang tular itu.









