Bengaluru: Sebuah pesawat IndiGo bagi laluan Bengaluru-Lucknow terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kempegowda di sini selepas sekeping nota tulisan tangan mengandungi ancaman merampas pesawat ditemukan di dalam tandasnya, lapor NDTV.
Penerbangan 6E451 yang membawa 178 penumpang itu berlepas dari Bengaluru pada jam 5.50 petang sebelum seorang penumpang menemukan nota berkenaan di dalam tandas ketika pesawat berada di udara.
Nota itu tertera mesej, "Pesawat ini akan dirampas tepat pada jam 6.30. Abaikan dan lihat padahnya."
Penumpang terbabit segera memaklumkan penemuan itu kepada kru kabin sebelum juruterbang menghubungi Kawalan Trafik Udara (ATC) dan memutuskan untuk berpatah balik ke Bengaluru sebagai langkah berjaga-jaga.









