Kuala Terengganu: Tekad untuk kembali memperkuatkan pasukan negara menjadi keutamaan perejam muda, Khairul Aman Mohd Rosdi yang mahu menjadikan 2026 sebagai tahun kebangkitan selepas prestasinya sedikit terjejas akibat kecederaan ketika bersama kem Malaysia tahun lalu.

Pemain berusia 23 Tahun kelahiran Terengganu itu berkata, dia mahu mengembalikan keyakinan diri serta membuktikan kemampuan sebenar selepas tidak dapat memberikan sumbangan seperti diharapkan sebelum ini.

Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah memperkukuhkan prestasi bagi menghadapi kejohanan Sukan Universiti ASEAN (AUG) terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai hala tuju kariernya dalam saingan Liga Sepak Takraw Malaysia (STL).