KOTA MELAKA: Sebarang prosiding dan tindakan tatatertib terhadap BERSATU akan diputuskan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata sehingga kini pelbagai aduan diterima daripada rakan komponen gabungan itu berhubung tindakan BERSATU didakwa melanggar etika perlembagaan gabungan itu.
"Kita mendapat aduan daripada rakan komponen, terutama membabitkan pelbagai masalah disiplin dan salah laku parti berkenaan. Aduan begitu akan dibincangkan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN.
"Kita tunggu apabila selepas Pilihan Raya Negeri Melaka ini, bagaimana langkah seterusnya dilakukan," katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang di Malim Jaya di sini, hari ini.










