KUALA LUMPUR: Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan bapanya menggunakan motosikal, legasi menjual makanan tradisional India itu kini menjadi sumber rezeki utama Thirunavukkarasan Krishnana, 52, selepas beliau mengambil alih perniagaan berkenaan susulan bapanya diserang strok pada 1990-an.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, bapanya yang ketika itu bekerja di Kelab Golf Diraja Selangor menjalankan perniagaan makanan secara sambilan bagi menambah pendapatan keluarga, bermula dengan menaiki motosikal sebelum beralih menggunakan van beberapa tahun kemudian.
Ketika bapanya diserang strok, Thirunavukkarasan sedang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya. Keadaan itu memaksanya memikul tanggungjawab menyara keluarga, sekali gus mengubah perjalanan hidupnya.









