MELAKA: Kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang akan membuka laluan lebih mudah kepada kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk melangkah ke Putrajaya.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kejayaan menawan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) itu merupakan isyarat bahawa kerjasama itu berpotensi diperluaskan ke peringkat nasional.

Menurutnya, memenangi Kesidang bukan sekadar soal merampas satu kerusi DUN, sebaliknya membawa mesej lebih besar mengenai keupayaan BN dan PN membina kesepakatan politik bagi menghadapi cabaran pada masa depan.

“Kalau kita berjaya di DUN Kesidang, ia menunjukkan satu isyarat yang cukup besar bahawa gerakan di Melaka ini akan membuka langkah yang lebih baik menuju Putrajaya,” katanya ketika melawat Bilik Gerakan PN DUN Kesidang di Malim Jaya di sini hari ini.