TEHERAN: Iran melaksanakan hukuman mati terhadap tiga lelaki yang didakwa menjalankan operasi bagi pihak Israel dan Amerika Syarikat (AS) ketika demonstrasi antikerajaan pada Januari lalu, menurut badan kehakiman negara itu hari ini.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan, Hassan Divband, Hamid Kazemi dan Reza Zanganeh, dihukum gantung selepas Mahkamah Agung mengekalkan hukuman mati terhadap mereka, lapor laman web badan kehakiman, Mizan Online.

Menurut laporan itu, mereka didapati bersalah kerana terlibat dalam aktiviti operasi bagi pihak Israel, AS dan kumpulan yang dianggap musuh Iran ketika demonstrasi berlangsung.

Mereka turut didakwa membaling bom petrol dan bom tangan, menggunakan senjata tajam serta senjata api, selain membakar kemudahan awam di bandar Karaj, barat Teheran.