Shah Alam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC dan Maju Institute of Educational Development (MIED) di Kota Kemuning di sini.

Ketibaan beliau disambut Presiden MIC yang juga Pengerusi MIED Tan Sri SA Vigneswaran, sekali gus memeriahkan lagi sambutan Pesta Cahaya itu yang dihadiri hampir 3,000 tetamu daripada pelbagai kaum.

Perdana Menteri meluangkan masa beramah mesra dengan tetamu dan majlis juga dihadiri beberapa pemimpin politik, antaranya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Sementara itu, Vigneswaran berkata, sambutan itu membuktikan rakyat Malaysia boleh hidup secara harmoni serta sentiasa berkongsi kegembiraan perayaan sepanjang tahun.