PARIS: Bekas pemain nombor tiga dunia dari Sepanyol, David Ferrer, bakal menyertai pasukan kejurulatihan Casper Ruud bagi menghadapi musim 2027, kata pemain Norway itu selepas tewas kepada Carlos Alcaraz pada separuh akhir Masters Paris.
Ferrer yang akan melepaskan jawatannya sebagai kapten pasukan Piala Davis Sepanyol selepas saingan final bulan ini, bakal bergandingan dengan bapa Ruud, Christian dan Pedro Clar dalam pasukan kejurulatihan pemain berusia 27 tahun itu.
Bekas finalis Terbuka Perancis 2013 itu pernah membimbing Alexander Zverev pada 2020 dan 2021, selepas mengumumkan persaraan sebagai pemain profesional pada 2019.
"Berita baik tersebar pantas!. David Ferrer akan menyertai pasukan kami tahun depan dan sudah tentu, kami semua sangat teruja dengan apa yang bakal menanti," tulis Ruud menerusi hantaran di Instagram selepas tewas 4-6, 4-6 kepada Alcaraz, semalam.









