KUALA LUMPUR: Dakwaan ayam mati sebelum disembelih di sebuah pusat penyembelihan dekat Puchong yang diserbu pihak berkuasa kelmarin perlu disiasat secara menyeluruh bagi mengesahkan kaedah pengendalian dan punca kematian.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata sekiranya perkara itu disahkan, ayam terbabit tidak memenuhi syarat penyembelihan halal.
"Dalam aspek hukum, haiwan yang halal dimakan perlu disembelih dengan memenuhi syarat-syarat ditetapkan hukum syarak.
"Antara hukum syarak adalah ayam terbabit mesti masih hidup ketika penyembelihan dilakukan. Dengan erti kata lain, sekiranya ayam itu mati sebelum sembelihan dibuat maka statusnya sama seperti bangkai," katanya ketika dihubungi hari ini.









