Ipoh: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah vesel kargo disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 pada kedudukan kira-kira 4.3 batu nautika barat daya Pulau Jarak dekat Lumut semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Perak Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, vesel berdaftar di Gambia itu dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Maritim (SWASLA) Lumut sebelum maklumat disalurkan oleh Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak kepada aset penguatkuasaan untuk tindakan pemeriksaan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh 21 kru, iaitu 11 warga Pakistan, lapan warga Iran dan dua warga Indonesia.