BANDAR GAZA: Keluarga Palestin yang kehilangan tempat tinggal kini terpaksa berlindung di kawasan terbuka selepas hujan lebat dan angin kencang menyebabkan kira-kira 70,000 khemah ditenggelami banjir di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut Pejabat Media Kerajaan, ribut yang bermula lewat Jumaat lalu itu turut menyebabkan puluhan tembok runtuh. Kerugian awal dianggarkan mencecah kira-kira AS$3 juta.

Sumber perubatan memberitahu Anadolu bahawa lima rakyat Palestin cedera apabila dua tembok bangunan yang rosak akibat serangan Israel sebelum ini, runtuh, selain kepingan logam jatuh ketika ribut melanda.

Jurucakap Perbandaran Gaza, Hosni Muhanna pula memaklumkan kepada Anadolu bahawa keluarga yang khemah mereka rosak pula tidak mempunyai tempat lain untuk berlindung kini.