Gaza City: Hujan lebat pada Sabtu menyebabkan khemah puluhan ribu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat perang di Gaza ditenggelami air, menurut pihak berkuasa Palestin, sekali gus menyebabkan mereka kehilangan tempat berlindung.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Media Kerajaan kendalian Hamas berkata, kira-kira 70,000 khemah yang menempatkan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat perlindungan akibat banjir pada hari pertama hujan.
Kenyataan itu turut memaklumkan, puluhan dinding dan bumbung bangunan yang retak runtuh sehingga menyebabkan beberapa penduduk cedera - termasuk yang parah - di beberapa kawasan wilayah kecil itu.
Sejak awal Sabtu, ratusan keluarga yang kehilangan tempat tinggal dilihat meninggalkan kem penempatan sementara di beberapa kawasan di Gaza City serta bahagian tengah dan utara Semenanjung Gaza selepas kawasan berkenaan ditenggelami air hujan.








