Kuala Lumpur: Langkah pemulihan yang dilancarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi penstrukturan semula tadbir urus kini berteraskan keutamaan untuk mengukuhkan kembali kepercayaan rakan penaja serta rakan strategik korporat terhadap badan induk itu.
Tanggungjawab besar untuk mengemudi momentum keyakinan ini digalas oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Media dan Pemasaran, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan.
Justeru, bagi memberi jaminan kepada pihak penaja bahawa setiap perancangan benar-benar membuahkan hasil, beliau meletakkan komitmen bahawa setiap sasaran akan menterjemahkan impak nyata.
"Saya tidak mahu KPI ini hanya menjadi satu angka ataupun sekadar satu perancangan, tetapi yang lebih penting implementasinya selari dengan apa yang kita rancangkan," katanya.









