SHAH ALAM: PAS Kawasan dan UMNO Bahagian Shah Alam membuat laporan polis bagi mendesak siasatan terhadap tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan pelaksanaan perintah tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya berpandangan Peguam Negara tidak mempunyai kuasa di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan titah pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, kenyataan Istana Negara berhubung perkara itu menimbulkan persoalan terhadap tindakan AGC yang disifatkan sebagai pengingkaran terhadap titah Seri Paduka Baginda.

“Kita hadir hari ini untuk menyatakan bahawa tindakan penangguhan tersebut adalah pengingkaran dan melalui laporan polis ini, kita meminta pihak polis menyiasat sepenuhnya Peguam Negara serta kenyataan media AGC yang menangguhkan titah pengampunan tersebut,” katanya ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 di sini hari ini.