Santiago: Sekurang-kurangnya 12 orang maut manakala 15 lagi cedera selepas sebuah bas penumpang bertembung dengan sebuah lori pengangkut tanah di wilayah Valparaiso, tengah Chile pada Sabtu, lapor Xinhua yang memetik pihak berkuasa tempatan.
Nahas berlaku di lebuh raya Ruta de la Fruta di kawasan perbandaran Santo Domingo, barat ibu negara Santiago.
Wakil Presiden bagi wilayah Valparaiso, Manuel Millones mengesahkan jumlah kematian itu berdasarkan maklumat daripada pihak polis.
Komander Jabatan Bomba Santo Domingo, Cesar Carreno berkata kira-kira 50 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.









