PUTRAJAYA – Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan menyuarakan hasrat supaya diberi peluang bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), selain turut menyasarkan kawasan Titiwangsa dan Labuan.

Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, ketiga-tiga kawasan itu wajar dirundingkan bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) memandangkan ia bukan kerusi milik gabungan berkenaan ketika ini.

“Insya-Allah, kami akan berusaha supaya kali ini Amanah diberi kepercayaan untuk bertanding di Putrajaya bagi memastikan kemenangan memihak kepada PH,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.