SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan beliau tidak akan membiarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar dengan sendiri susulan isu yang masih belum selesai membabitkan institusi pemerintahan negeri itu.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan berusaha sebaik mungkin memastikan persidangan DUN dapat diadakan bagi membolehkan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 dibentangkan mengikut perancangan.
“Saya tidak akan biarkan belanjawan itu terbubar, insya-Allah. Kita hanya menunggu tarikh untuk mengadakan sidang DUN. Kita akan cuba sedaya upaya melaksanakannya bagi mengelakkan timbul soal belanjawan itu terbubar,” katanya ketika ditemui di kediaman Penasihat Khas Hal Ehwal Masyarakat India, VS Mogan sempena Perayaan Deepavali di Seremban hari ini.








